JOHOR BAHARU: Menteri Pertahanan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein dijangka menerima sokongan padu daripada
bahagian Umno di Johor bagi merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan
parti tidak lama lagi.
Beberapa Ketua Umno Bahagian secara terbuka berkata mereka akan
mengikuti langkah Badan Perhubungan Umno Johor yang menyatakan sokongan
terhadap pencalonan Hishammuddin pada mesyuaratnya baru-baru ini.
"Sebagai anak Johor, kita akan memberi sokongan padu kepada
Hishammuddin sebagai calon Naib Presiden dan memastikan Johor terus
kekal sebagai kubu kuat dan tunjang kepada Umno," kata Ketua Umno
Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang kepada Bernama, Isnin.
Beliau berkata bahagian itu ingin melihat Hishammuddin, yang
merupakan anak Johor dan Ketua Umno Bahagian Semberong, mengekalkan
jawatannya sebagai Naib Presiden parti berkenaan.
Mengulas dua calon Naib Presiden lain, Maulizan berkata mereka akan
memilih pemimpin yang memiliki latar belakang perkhidmatan serta
perjuangan cemerlang.
Calon Naib Presiden lain ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd
Shafie Apdal, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir,
Pengerusi Felda Tan Sri Mohamad Isa Samad serta bekas Ketua Menteri
Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Ketua Umno Bahagian Gelang Patah Datuk Abdul Aziz Sapian pula berkata kemenangan Hishammuddin akan memantapkan lagi Umno Johor.
Bagi Ketua Wanita Umno Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain,
pergerakan itu akan menyokong calon yang cemerlang dalam melaksanakan
tugas mereka.
"Saya tidak nampak mengapa Wanita Umno Johor perlu menolak Datuk
Hishammuddin, beliau telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya
dengan cemerlang dan harus disokong," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Ahmad
Zahri Jamil berkata keputusan menyokong Hishammuddin dan calon anggota
Majlis Tertinggi (MT) Umno dari Johor adalah sesuatu yang biasa.
Beliau berkata bagaimanapun, Hishammuddin dan calon MT berkenaan
perlu memperoleh sokongan negeri lain jika ingin menang dalam persaingan
merebut jawatan terbabit. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment