Surat terbuka buat Dato’ Najib daripada Siti Hajar Aladin
Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri..
Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap
apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat
Malaysia. Saya menulis surat ini adalah sifat keberanian dalam diri
saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun
Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun.
Sejak akhir-akhir ini
isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita
lebih mahal minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju
tentang kenyataan itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah
sesuatu yang memang terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika
hari ini kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan
sekadar memberi impak kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan
miskin dan juga seluruh rakyat Malaysia.
Hari pertama harga
minyak naik, food court ditempat kerja saya menaikkan harta roti
sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan minyak. Tetapi jika satu
hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak 50 sen sekalipun, harga
roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik akan kekal sama dan
tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata orang-orang yang kaya
nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada kami yang baru sahaja
memulakan kehidupan.
Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur
baru 27 tahun.Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya
akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat
saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka
lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak.
Boleh
dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin
kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak
bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya
satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?
Mengenai BR1M. Pada mereka yang diberikan BR1M, pasti mereka akan
gembira. Kenaikan BR1M telah memberi impak positif yang besar kepada
kerajaan kerana kerajaan telah melaksanakan sebahagian tanggungjawab
untuk membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama kenaikan harga memberi
impak negatif yang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang
menerima BR1M atau tidak. Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi
memberi subsidi minyak?
Kerajaan mengatakan bahawa pemberian
BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang
berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya
katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga
turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap
rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.
Dato Seri,
Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat
Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat
sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan
middle income (RM3,000 – RM5,000).
Saya tidak layak menerima
BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan.
Golongan middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah
kerana kos sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana
suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri?
Seterusnya
pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji
permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M.
Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala
bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000.
Walaupun gaji
mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak
mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan
setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk
memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya
seseorang untuk menanggung keluarga.
Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.
Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
Parking : 23 hari x RM5 = RM115
Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
PTPTN : RM150 (minimum)
Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
Ibu Ayah = RM200
Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
TOTAL BAKI : RM213.40
Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan
saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak
seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya
menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.
Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka
pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat
harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660
sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka
setiap bulan perlu membayar RM717.
Bagaimana golongan belia
pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan
terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah.
Saya telah kira
RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate
sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana
ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000
sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini?
Di
kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita
perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia
bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak
atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.
Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma.
Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji
mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan
ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan
dengan gaji yang sepatutnya.
Alhamdulillah, saya bekerja di
sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi
bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak
seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di
US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara
Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika
dibandingkan di negara kita.
Seterusnya, mengenai status
penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi.
Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun
swasta, mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap
menjadi penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak
menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa
masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan
pinjaman perumahan yang amat sukar.
Walaupun sebelum ini telah
lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi
ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas
alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat.
Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap,
harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat
membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.
Saya
sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang
kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri
dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin
disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan
memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami.
Terima kasih
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin
No comments:
Post a Comment