Timbalan
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din hari ini menegaskan bahawa kalimah
Allah hanya eksklusif untuk Islam sahaja manakala agama-agama lain
tidak dibenarkan sama sekali menggunakannya.
Sehubungan
itu beliau yang kini berada di Mekah meminta semua umat Islam
mempertahankan kalimah suci itu daripada dirosakkan oleh kumpulan
tertentu dan dalam masa sama, menjadikannya asas kukuh di dalam
kehidupan.
Beliau
berkata, semua pihak wajib faham iaitu kalimah Allah sebenarnya merujuk
kepada Tuhan Yang Esa atau Tuhan Yang Tunggal seperti mana disebut oleh
Allah di dalam surah al-Ikhlas dan bukannya tuhan yang berbilang-bilang
seperti mana kepercayaan agama Kristian.
''Atas itu
juga saya mengajak umat Islam sekalian marilah bersama-sama bersyukur
kepada Allah kerana sampai sekarang kalimah Allah setelah diperjuangkan
sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dikekalkan hanya untuk Islam.
''Dengan
kata lain, kalimah suci ini hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja
sementara permohonan daripada agama lain, mahkamah tidak
membenarkannya," katanya ketika dihubungi.
Haron
mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu yang tidak
membenarkan mingguan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam seksyen
bahasa Melayu penerbitannya.
Dalam
perkembangan sama, Haron meminta semua pihak bersiap sedia kerana masih
terdapat satu lagi mahkamah yang boleh mendengar tuntutan tersebut iaitu
Mahkamah Persekutuan.
''Masih ada
satu lagi tempat medan perjuangan yang namanya Mahkamah Persekutuan.
Mungkin arahan tidak terduga akan berlaku nanti atau mungkin juga
Malaysia bukannya medan untuk pertarungan mempertahankan kalimah Allah.
''Sebaliknya
hingga ke peringkat Mahkamah Antarabangsa. Mungkin akan sampai ke sana.
Apa pun sebagai umat yang faham tentang Islam itu sebagai agama tauhid
wajib mempertahankan kalimah suci ini," katanya.
No comments:
Post a Comment