Friday, October 18, 2013

KEDUDUKAN HISHAMMUDDIN HUSSEIN DALAM SAINGAN NAIB PRESIDEN UMNO !

MiM tertarik dengan satu laporan tentang DS Hishammuddin Hussein, penyandang Naib Presiden UMNO. MiM telah mengikuti 2 program penerangan Menteri Pertahanan ini yang menjelaskan tentang beberapa isu yang dikaitkan dengan beliau.



MiM akui penjelasan Hishammuddin Hussein di program-program tersebut telah diterima baik oleh orang ramai yang hadir. 

Sebagai salah seorang yang berada di bawah kepimpinan beliau sebelum ini di dalam Pemuda UMNO Malaysia, Hishammuddin Hussein merupakan seorang pemimpin yang banyak membantu MiM di dalam Klinik Kesihatan Bergerak, satu program kebajikan yang turun ke padang mendekati rakyat. Begitu juga dengan YB Khairy Jamaluddin.

Dan apabila Khairy Jamaluddin menang besar sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, maka timbul berita tentang sokongan beliau dan Pemuda UMNO kepada Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Berita ini tidak ada salahnya, sama seperti berita tentang sokongan Wanita UMNO Malaysia kepada penyandang Naib Presiden UMNO itu. 

Dan di sepanjang penglibatan MiM di dalam politik, MiM telah berkesempatan untuk mengenali Hishammuddin Hussein dari dekat. Begitu juga dengan DS Zahid Hamidi dan Dato' Mukhriz Mahathir. DS Ali Rustam pernah datang merasmikan mesyuarat agung bahagian MiM sebelum ini.

Tetapi MiM tidak berkesempatan untuk berjumpa dan mengenali DS Shafie Apdal dan TS Isa Samad dari dekat kecuali daripada laporan media tentang mereka. Maka, agar sukar untuk MiM menilai mereka berdua seperti yang MiM lakukan terhadap 4 calon Naib Presiden UMNO yang lain.

Bagaimana pun, keterbukaan parti UMNO di dalam pemilihan pemimpin UMNO kali ini memerlukan MiM dan perwakilan UMNO yang lain untuk bersikap terbuka dan memilih yang terbaik di antara 6 calon Naib Presiden UMNO.

Fokusnya ialah untuk menyediakan parti UMNO yang lebih mantap dan siapsiaga untuk berdepan dengan PRU14.

Apa pun, MiM berharap agar 19hb Oktober ini akan menyaksikan pemilihan UMNO yang lancar dan tertib. Janganlah kita bagi 'peluru' atau 'bola tanggung' kepada pembangkang yang akan menggunakan sebarang floss dalam pemilihan UMNO kali ini.
Anda baca di bawah :
Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengakui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendahului senarai saingan merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno pada Sabtu. 
Hishammuddin yang turut bertanding untuk mempertahankan jawatannya berkata, lima lagi calon lain mempunyai peluang seimbang untuk mengisi baki dua kerusi untuk jawatan itu. 
"Tiada siapa boleh meramal bagaimana 146,500 perwakilan akan membuat keputusan kerana ia sistem pemilihan yang baharu," katanya merujuk kepada sistem pengundian Umno yang menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah pengundi pada pemilihan kali ini. 
Pada pemilihan Umno sebelum ini, hanya kira-kira 2,500 perwakilan layak untuk mengundi kepimpinan tertinggi parti itu. 
Selain Zahid dan Hishammuddin, calon lain yang turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan itu adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau telah bekerja keras untuk membersihkan persepsi negatif mengenai dirinya terutamanya di laman media sosial mengenai peranan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri. 
"Saya menjelaskan kepada seramai ahli Umno yang boleh ketika bertemu mereka. Ia amat memenatkan tetapi hati saya jelas," katanya kepada The Star. 
Mengenai dakwaan beliau tidak tegas ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu, Hishammuddin berkata, ramai tidak menyedari penceroboh sebenarnya mensasarkan Semporna, satu daerah di pesisir pantai Sabah di mana enam anggota polis terbunuh. 
Beliau berkata pihak berkuasa bertindak dengan lebih berhati-hati kerana 27 lagi anggota polis terperangkap di dalam perkampungan itu dan persediaan yang rumit telah dibuat sebelum pihak berkuasa boleh memasuki kawasan itu. 
Hishammuddin turut menyangkal dakwaan bahawa beliau lemah dalam menangani Bersih, pekerja asing tanpa izin dan kegiatan jenayah. 
Hishammuddin berkata beliau berasa lebih selesa untuk memulakan kempennya selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. 
Ketika ditanya mengenai peluang untuk menang, beliau berkata segalanya terletak di tangan semua perwakilan. 
Hishammuddin berkata perwakilan perlu menyedari kesetiaannya terhadap parti dan bagaimana beliau menerajui sayap Pergerakan Pemuda susulan keadaan huru-hara pada 1998 di mana separuh daripada kepimpinan pergerakan itu meninggalkan parti ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari parti dan kerajaan. 
Beliau menerajui Pemuda Umno sejak itu dan memegang jawatan tersebut selama tiga penggal sebelum memenangi jawatan Naib Presiden pada 2009 - seterusnya

-SUMBER

No comments:

Post a Comment