Trend pengundian bagi pemilihan sayap Umno yang baru selesai Sabtu
lalu menunjukkan bahawa perwakilan akar umbi parti itu enggan mengundi
untuk melakukan perubahan pada kedudukan teratas.
Keadaan ini menunjukkan terdapat kemungkinan besar bahawa status quo
akan dikekalkan bagi pemilihan Naib Presiden Umno pada peringkat Majlis
Tertinggi Sabtu ini.
Pemerhati politik percaya bahawa penyandang, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein mempunyai kelebihan pada 19 Oktober ini.
Pada pemilihan sayap Umno Sabtu lalu, Ketua Pemuda Umno, Khairy
Jamaluddin dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil membuktikan
mereka berjaya mengekalkan jawatan masing-masing walaupun berhadapan
cabaran sengit terutama dari pihak yang mempertikaikan kepimpinan
mereka.
Keputusan menunjukkan bahawa Khairy dan Shahrizat tidak hanya menang
besar menerusi kaedah ‘electoral College’ pada pemilihan kali ini,
tetapi juga menerima undi popular dari hampir semua 191 bahagian.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya
Shaharuddin Badaruddin berkata, beliau menjangkakan trend yang sama akan
berlaku apabila perwakilan membuat pilihan mereka memilih Naib Presiden
dan ahli-ahli Majlis Tertinggi.
Beliau berkata dua kategori calon akan mempunyai kelebihan Sabtu ini
iaitu penyandang terutama dalam pertandingan untuk Naib Presiden serta
dan pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan seperti menteri,
timbalan menteri dan Menteri Besar.
Ketiga-tiga penyandang Naib Presiden, akan dicabar oleh Tan Sri Mohd
Isa Abdul Samad, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Mohd Isa pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan
selama 22 tahun dan kini memegang jawatan Pengerusi Felda manakala
perkhidmatan selama 14 tahun sebagai Ketua Menteri Melaka juga telah
membuatkan mereka dikenali perwakilan akar umbi.
Kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah juga menjadikannya antara calon berprofil tinggi.
“Mereka bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi dan yang memegang
jawatan-jawatan kerajaan mendapat publisiti yang lebih hingga menjadikan
mereka lebih terkenal berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai
jawatan,” kata Shaharuddin.
Daripada 62 pemimpin yang bertanding untuk 25 kerusi Majlis
Tertinggi, 17 daripada mereka memegang jawatan kanan sama ada sebagai
Menteri Besar atau Ketua Menteri, menteri atau timbalan menteri.
-mStar
No comments:
Post a Comment