Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menyokong kenyataan keras rakan
Kabinetnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa P. Waythmoorthy
perlu meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri sekiranya berfikir seperti pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Hishammuddin bercakap kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra
di Kuala Lumpur hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir
Sufari, 25 Ogos, 2013.
Menteri Pertahanan berkata, Waythmoorthy perlu berfikir secara rasional
dan mengetepikan emosi kerana berfikir menggunakan emosi bukanlah kaedah
kepimpinan yang waras.
"Saya setuju dengan Datuk Zahid ... 101 peratus, kita anggota Kabinet
bertanggungjawab bersama, tiada mana-mana pihak letakkan kepentingan
politik melebihi pertimbangan politik kolektif," katanya kepada
pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
"Bersandarkan kepada emosi dalam melaksanakan sesuatu keadaan tidak
melambangkan situasi dan emosi tidak menunjukkan kepimpinan yang waras,"
kata pemangku Menteri Pengangkutan itu tegas.
Ahmad Zahid semalam berkata pemimpin bekas Hindraf yang kini merupakan
timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu harus melepaskan
jawatannya sekira masih berfikiran umpama NGO apabila mempertikaikan
tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menembak mati lima suspek
penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri itu dalam ucapan perasmian semasa "Forum Pencegahan
Jenayah: Undang-undang semasa dan langkah-langkah untuk mencegah
jenayah kekerasan secara berkesan" di Petaling Jaya semalam menegaskan,
dalam usaha memerangi jenayah, penjenayah seharusnya tidak menerima
simpati umum.
"Jika ada seorang tokoh yang pernah ketuai NGO, dan jadi anggota
pentadbiran memberi komen negatif, berhenti dari kerajaan, duduk dalam
NGO semula," kata ahli Parlimen Bagan Datoh itu.
"Dalam perkara ini jangan kita ada simpati kepada penjenayah," tegasnya.
Waythamoorthy sebelum ini dilaporkan media berkata beliau tidak percaya
berlaku tembak menembak antara pasukan polis dengan suspek, sebaliknya
mencadangkan mereka ditembak pada jarak dekat.
Ahmad Zahid juga sebelum ini dilaporkan pernah menasihati Waythamoorthy
supaya tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar yang
ditentukan kerajaan.
"Beliau jangan ingat yang beliau masih pemimpin badan bukan kerajaan,
beliau bukan pemimpin Hindraf lagi, jangan campur tangan kerja polis,"
kata Ahmad Zahid dipetik laporan media. - 25 Ogos, 2013.
No comments:
Post a Comment