
Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, tarikh 31 Ogos sebenarnya harus menjadi satu tarikh keramat yang dinanti oleh setiap rakyat negara ini dan bukannya sekadar hanya menganggap ianya sebagai satu hari cuti umum.
“Seharusnya tarikh ini menjadi tarikh keramat. Ibubapa pula perlu menyemai rasa cinta dan hormatkan negara kepada jiwa anak-anak agar anak-anak membesar menjadi seorang individu yang tahu menghargai betapa susahnya negara ini mencapai kemerdekaan.
“Segala apa yang dikecapi sekarang ini tidak mungkin akan menjadi realiti sekiranya generasi terdahulu tidak memperjuangkan dan menggadai nyawa untuk menuntut kemerdekaan. Apa yang dapat saya lihat sekarang ini, semangat kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini seakan luntur dan tidak menghargai nikmat yang mereka telah perolehi.
“Sebagai contoh kita ambil perhimpunan demi perhimpunan yang dilakukan oleh pembangkang. Penyokong pembangkang sanggup berhabis wang ringgit malah tidak memikirkan keselamatan diri sendiri hanya untuk berhimpun di perhimpunan haram walaupun ianya menyalahi undang-undang.
“Tetapi untuk meraikan hari merdeka, mereka terlalu berkira malah tidak menganggap ianya penting. Bagi mereka, ini mungkin tanggungjawab kerajaan bagi mereka ini program Barisan Nasional (BN). Sedangkan sambutan merdeka tidak ada kena mengena dengan parti politik dan ianya perlu diraikan bersama-sama tanpa membezakan fahaman politik, bangsa dan agama,’ ujanrnya kepada UMNO-Online.
Tambah Shamsul, semangat taksub dan ekstrem sayangkan parti politik sebegini harus turut sama ketika meraikan kedatangan tanggal 31 Ogos kerana hari tersebut adalah hari untuk memperingati perjuangan generasi terdahulu yang telah banyak berkorban.
“Sebagai rakyat yang cintakan negara dan keamanan, kita harus memiliki semangat patriotik yang tinggi. Lihatlah apa yang jadi di Mesir sekarang ini. Jadikanlah ianya sebagai contoh terbaik betapa kita ini sangat beruntung berada di bumi Malaysia.
“Sekiranya kita tidak mempertahankan negara kita dan terus berpecah belah hanya kerana berlainan fahaman politik maka tidak mustahil apa yang kita kecapi sekarang ini akan hilang. Oleh itu, hargailah negara Malaysia yang berdaulat ini.
Sudah sampai masanya semua rakyat negara ini mempunyai semangat yang kuat, jitu dan secara bersama menjadi benteng untuk mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya lagi.
Beliau turut melahirkan rasa kesal kepada sikap pembangkang yang seakan tidak mahu melihat negara ini terus aman damai dan makmur. Ini kerana setiap apa sahaja yang kerajaan lakukan akan terus dipertikaikan dan cuba mempengaruhi rakyat agar membenci kerajaan.
Sikap pembangkang sejak akhir-akhir ini yang sering mempertikaikan pihak keselamatan contohnya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana ianya berkaitan dengan keselamatan negara dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Inilah yang saya kesalkan kerana sikap seperti ini boleh menyebabkan rakyat berpecah belah. saya harapkan sambutan kemerdekaan kali ini mampu menyerap semangat patriotik yang lebih tinggi di jiwa rakyat negara ini agar kita semua terus hidup dengan selesa di bumi bertuah ini,” ujarnya lagi. - MediaUMNO
No comments:
Post a Comment